Sunday, September 16, 2007

Makna Makna Kehidupan 1

Tengah hari ini aku akan ke KLIA untuk berangkat ke Mekah untuk menunaikan Umrah dan Ziarah.

Sudah beberapa kali aku ke Mekah. Ini adalah kali kelapan. Tetapi inilah kali pertama aku ke sana dalam bulan puasa untuk merasai berpuasa disana.

Kali ini selain melaksanakan ibadah Umrah aku ingin menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzu.
Hingga pagi ini lebih dari 8 juzu sudah selesai.

Aku kesana kali ini tanpa ahli keluarga. Tanpa isteri yang disayangi. Tanpa anak-anak. Aku dengan seorang kawan, abang Jaafar. Dia tidak pernah kesana.

Musafir kali ini adalah satu lagi pencarian makna kehidupan. Kadangkala kita perlukan masa sendirian. Masa untuk "solitude". Masa untuk rekleksi. Masa untuk mengimbas dan mengimbau. Ini adalah masa yang terbaik.

Dalam umur lebih setengah abad, kita sudah melebihi had separuh secara normanya. Bagi kebanyak kita sudah hampir dua pertiga. Kedaan fizikal juga sudah banyak berubah. Hanya kita sendiri yang tahu segala perubahannya samada luaran atau dalaman.

Dikala beginilah kita akan lebih banyak berdialog dengan diri sendiri. Melihat dunia dan alam dari perpektif yang begitu berbeza sekali. Membuat penilaian pada daya saing yang masih ada. Membetulkan arah dan hala tuju laksana sebuah kapal "tacking its sails" untuk sampai ke destinasinya. Jika kita masih terbabas dari landasan perjalanannya payah untuk kita kembali kejalanannya.

Hidup adalah satu anugerah yang terlalu indah dan mulia untuk kita lepaskan. Hanya kita yang dapat memberikan makna yang kita idamkan kepada kehidupan kita. Setiap waktu atau "moment" adalah anugerah untuk kita merealisasikan apa yang kita hajatkan. Kejayaan adalah dibina dri detik ke detik. Detik demi detik kehidupan yang indah akan memberikan kehidupan yang indah.

Kita tidak perlu mengejar masa. Masa sentiasa menunggu kita sampai kepada satu titik noktah yang ditentukan Ilahi. Tetapi lihatlah berapa rapai orang yang "stress" atau dihimpit tekanan kerana mengejar masa. Mereka tidak pernah dapat mengangkapnya. Mengejar masa laksana mengejar pelangi diufuk sana. Kita dapat lihat pelangi dengan jelas. Dapat dilihat tetapi tidak boleh ditangkap. Tangkapan hanya pada lensa kamera atau mata dan minda sahaja. Itulah sahaja yang terbaik.

Jadi setiap hari adalah satu perjalanan detik demi detik. Dan perjalanan ke Mekah kali ini adalah detik-detik untuk mendekatkan diri dengan Ilahi dalam memberi makna sebuah kehidupan.

Salam Ramadan.